Mengapa Belajar Bahasa Arab

posted under by منسق/مدير
Hari ini kalau kita membeli kereta baru, computer, tv, mesin basuh, peti ais dan lain-lain yang baru pasti kita akan dibekalkan sebuah buku panduan/manual. Dalam buku panduan, dinyatakan pelbagai nama komponen tertentu, fungsi dan cara menggerakkan alatan tersebut dengan betul. Biasanya buku panduan itu ditulis dgn bahasa utama pengeluar alatan itu. Ini diikuti dgn terjemahan dalam bahasa2 lain.

Persoalannya, bagaimana kita dapat menggunakan dan memperbaiki alatan tersebut jika kita tidak dapat memahami bahasa yang digunakan. Umpamanya, buku panduan tentang penggunaan enjin kereta dlm bahasa Jepun yang menggunakan 100 peratus tulisan Jepun? Sudah tentu seseorang yang tidak memahami bahasa Jepun tidak akan dapat membaiki enjin dengan betul. Yangg mungkin difahami cuma bahagian yang melibatkan gmbar sahaja.

Jadi, marilah kita renungkan bersama secara mendalam pula senario yang lebih besar daripada itu. Allah menjadikan muka bumi ini sebagai kegunaan khalifah-Nya iaitu makhluk bergelar manusia. Persoalannya, adakah Allah bekalkan buku panduan bagaimana menggunakan bumi dan prasarana alam yang terbentang luas ini?

Jawapannya sudah tentu “ya”. Panduan itu tidak lain dan tidak bukan ialah al-quran. Di dalamnya terdapat pelbagai panduan dalam semua bidang kehidupan samada akidah, ekonomi, pengurusan, kemasyarakatan, keilmuan, kebudayaan, kemajuan dan sebagainya.

Pokok perbincangan ialah bagaimana kita dapat mengadaptasikan apa yang terkandung dalam al-quran jika kita tak dapat memahami bahasa yang digunakan. Oleh kerana al-quran diturunkan dalam bahasa arab, samada mahu atau tidak, kita perlu belajar bahasa arab.

Sehubungan dengan itu, sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya berusaha dengan segala kekuatan yang ada disamping prasarana yang semakin hari semakin canggih untuk sama2-sama menguasai bahasa antarabangsa yang penting ini.

Marilah kita fikirkan ungkapan ringkas ini, "kalau kita menguasai bahasa melayu kita boleh mendapat segulung ijazah. Kalau kita dapat menguasai bahasa inggeris, kita boleh bersaing dengan negara maju. Kalau kita dapat menguasai bahasa arab(mampu menterjemahkan dan mengadaptasikan ilmu2 al-quran dlm kehidupan) kita boleh mengatasi negara maju.

Ungkapan ringkas ini bukan bermaksud untuk memperkecilkan-kecilkan bahasa ibunda kita iaitu bahasa melayu. Bahasa melayu tetap bahasa rasmi negara kita. Ungkapan ini sebenarnya satu motivasi yang dijangka dapat menyuntik semangat kepada kita untuk menguasai sekurang-kurang tiga bahasa tersebut sebagai asas permulaan.

Kalau kita menguasai bahasa melayu kita mungkn mampu mendapat segulung ijazah yang kita inginkan. Ini kerana kursus-kursus peringkat ijazah muda yang ditawarkan di beberapa universiti di negara ini menggunakan bahasa melayu sebagai bahasa pengantar. Justeru itu, kalau kita dapat menguasai bahasa lain seperti bahasa inggeris, maka kita masih mampu mendapatkan segulung ijazah tersebut.

Walau bagaimanapun, berbekalkan segulung ijazah tersebut belum memadai untuk kita memperoleh kerjaya yang diingini. Ini kerana kita perlu bersaing dengan ribuan siswazah lain yang turut memiliki segulung ijazah yang setaraf dgn kita. Oleh itu, kemahiran menguasai bahasa inggeris amat diperlukan.

Sehubungan itu, dalam arus globalisasi ini, kalau kita menguasai bahasa inggeris kita boleh bersaing dengan negara maju. Tahukah kita apakah yang dimaksudkan dgn boleh bersaing? Itupun berapa orang dikalangan kita rakyat Malaysia yg betul-betul boleh menguasai bahasa inggeris? Kalau pun boleh, kita masih lagi bersaing!

Bersaing maknanya masih seiring. Kalau lumba lari acara pecut 100 meter,kita hanya boleh bersaing dan tidak ketinggalan jauh ke belakang berbanding pelumba pertama. Namun, kita masih lagi belum menjadi pelumba yang pertama.

Persoalannnya, bagaimana kalau kita mampu menguasai bahasa arab? Adakah kita boleh mengatasi negara maju? Jawapannya sudah tentu "ya" tetapi dengan satu syarat. Syaratnya, kita menguasai bahasa arab supaya mampu menterjemahkan dan mengadaptasikan ilmu-ilmu al-quran dan dapat mempraktikkannya dalam kehidupan kita.

Maksudnya di sini, kita boleh membawa al-quran ke kilang-kilang bukan sekadar membawa mushafnya utk dibaca tetapi lebih daripada itu. Kita sepatutnya menjadikan al-quran sebagai rujukan utama utk meningkatkan produktiviti kilang. Bagaimana caranya? Sudah tentulah memerlukan penyelidikan yang berterusan.

Untuk mentafsir al-quran dlm bidang yg diceburi sgt memerlukan penguasaan pelbagai ilmu pengetahuan. Salah satu ilmu yg merupakan kuncinya miftahul ilmi ialah ilmu bahasa arab.

Jadi, menguasai bahasa arab dgn baik adalah salah satu syarat yg diperlukan utk kita menterjemahkan al-quran dlm bidang yg kita ceburi. Tanpa penguasaan yg baik, sudah pasti hasil yang diperoleh juga kurang memberangsangkan. Utk menguasainya, sudah tentu memerlukan perancangan dan persiapan rapi.

Oleh itu, mahu atau tidak, kita terpaksa belajar menguasai bahasa arab. Seterusnya, belajar bagaimana menguasai bahasa tersebut dan menggunakan kepakaran itu utk meneroka ilmu Allah yg Maha Luas ini.

TIPS BELAJAR BAHASA ARAB

posted under by منسق/مدير
Ramai di kalangan kita pernah belajar Bahasa Arab samada secara rasmi ataupun tidak. Walaubagaimanapun kebanyakan mereka masih ada yang mengeluh menyatakan belum dapat menguasai kemahiran Bahasa Arab.


Ada juga yang bertanya “Apakah rahsia untuk mahir berkomunikasi dalam Bahasa Arab? Apakah tips mudah untuk menguasai bahasa Nabi ini? Apakah teknik mudah untuk memahami dan mendalami bahasa ini dengan mudah? Berapa lama pula masa yang diperlukan?”


Sehubungan itu, penulis inigin mengajak para pembaca untuk sama-sama berkongsi pengalaman bagaimana kita boleh meningkatkan kemahiran berbahasa Arab.


Secara umumnya, jika kita tahu cara dan teknik yang betul dan sesuai untuk mahir dalam bahasa Al-Quran, ia adalah sangat mudah. Pendekatan teknik mudah inilah yang jarang didedahkan kepada para pelajar. Dalam hal ini, kita memiliki banyak kelebihan anugerah Allah yang kita tidak manfaatkan secara maksima.


Dengan ertikata lain, kita perlu memasukkan beberapa unsur yang sering dilupakan dalam pembelajaran biasa. Antara unsur itu ialah konsep kata pinjaman, zikrullah, panggilan mesra berkomunikasi, intonasi yang sesuai, bahasa badan yang meyakinkan dan penggunaan ayat Al-Quran dan al-Hadis. Pendekatan belajar mudah bahasa Arab ini menggabungkan beberapa elemen penting dan beberapa konsep unik yang kita abaikan sebelum ini.

Antara konsep itu ialah:

Pertama : Konsep Memanfaatkan Kelebihan Memiliki Kata Pinjaman.

Kita sebagai rakyat Malaysia yang telah menguasai Bahasa Melayu dikira cukup bertuah berbanding rakyat Argentina, Jepun, Brazil dan lain-lain. Bahasa yang mereka tuturkan hampir tiada persamaan dengan bahasa Arab. Ini berbeza dengan bahasa Malaysia yang kita gunakan seharian. Dalam Kamus Dewan sahaja terdapat lebih 1,700 perkataan berasal daripada perkataan Arab. Jadi apalah salahnya, kata pinjaman yang berasal daripada bahasa Arab itu kita gunakan semula dalam membina ayat mudah dalam bahasa Arab.


Dalam peperiksaan Bahasa Arab SPM, calon dikehendaki menulis karangan sekurang-kurangnya 150 patah perkataan. Ini sudah tentunya sangat senang kerana kita ada lebih 10 kali ganda daripada itu iaitu 1700 patah perkataan dalam bahasa ibunda kita. Cuma, persoalannya bagaimana kita menggunakan kelebihan ini.


Untuk itu, satu kaedah baru telah diperkenalkan yang diberi nama MUKADDAM. Kaedah MUKADDADAM ini adalah singkatan (“Membandingkan Unsur-unsur Kalimah Arab Dengan Dialek Alam Melayu”). Ia adalah satu pendekatan mudah belajar bahasa Arab terutamanya untuk rakyat Malaysia yang sudah menguasai Bahasa Melayu. Konsep yang ingin diketengahkan sebenarnya cukup mudah.


Setiap hari cuma satu kata pinjaman sahaja yang akan dihuraikan, digunakan dan dipraktikkan. Inilah yang dikatakan, sehari sehelai benang, lama-kelamaan menjadi selembar kain. Begitu juga dalam konteks belajar bahasa Arab yang mudah ini. Sehari satu kata pinjaman lama kelamaan “as-hala qamusin”. Apa yang dimaksudkan dengan “as-hala qamusin” ialah sebuah kamus yang paling mudah difahami.


Kedua : Konsep Zikrullah

Ada satu soalan yang sering ditanya kepada kita. Kebanyakan daripada kita pun pasti akan menjawabnya dengan jawaban yang sama atau hampir sama. Soalan itu ialah “Kaifa haluk?” Terjemahannya “Apa khabar saudara?” Jawabannya ialah “Ana bikhair wal hamdulillah” Terjemahannya “Saya baik dan alhamdulillah”.


Apa yang ingin dibicarakan di sini ialah jawaban “alhamdulillah” iaitu menyebut nama Allah. Persoalannya kenapa soalan ini sahaja kita menjawabnya dengan menyebut nama Allah? Kenapa dalam soalan lain atau suasana yang lain kita tidak mampu menyebut nama Allah? Sehubungan itu kita akan mengaitkan apa saja ayat yang kita bina dengan satu zikrullah yang paling sesuai. Dalam hal ini sekiranya kita mudah mengingati Allah, Allah akan memudahkan kita untuk belajar mengingati perkataan lain.


Ketiga : Konsep Panggilan Mesra

Dalam komunikasi berkesan kita digalakkan menyebut nama, gelaran atau pangkat seseorang. Dalam Al-Quran, perkataan ya… (seruan yang bermakna wahai…) disebut sebanyak 361 kali. Sehubungan itu kita boleh mulakan dengan panggilan mesra atau panggilan mesra diletakkan di awal atau di hujung percakapan.
Terdapat dua faedah utama yang boleh kita peroleh sekiranya kita menggunakan konsep ini.

Faedah pertama kita dapat membanyakkan atau memanjangkan ayat yang kita bina.

Faedah kedua pula dapat mengeratkan hubungan komunikasi antara kita dan orang yang kita hubungi.


Keempat : Konsep Intonasi

Dalam pembelajaran bahasa Arab secara tradisional, para pelajar dikehendaki membaca beberapa ayat dalam satu intonasi sahaja. Oleh itu dalam kaedah mudah ini, pelajar dikehendaki melakonkan satu perkataan dalam pelbagai intonasi.


Sebagai contohnya perkataan “La” yang bermakna tidak atau penafian. Seorang pelajar yang menghayati bahasa Arab mampu membuat pelbagai intonasi yang sesuai berdasarkan masa, tempat dan kedudukan walaupun hanya satu perkataan. Perkataan “la” boleh dialunkan intonasinya dalam keadaan biasa, menafikan cara lembut, menafikan secara bersungguh-sungguh, menafikan cara keras, secara mengada-ngada, geram, marah, bersahaja, terkejut, kagum dan sebagainya.


Kelima : Konsep Bahasa Badan

Ini diambil dari konsep iman iaitu membenarkan dalam hati, melafazkan dengan lidah dan melakukan dengan anggota badan. Dalam pembelajaran bahasa Arab secara tradisional, para pelajar hanya menggunakan dua pertiga sahaja. Mereka jarang sekali menggunakan anggota badan untuk membantu pertuturan mereka.


Sehubungan itu, berteraskan modal insan, para pelajar dikehendaki menggunakan bahasa badan mereka sebagai sokongan. Ini secara tidak langsung akan memudahkan mereka berinteraksi dengan lebih menyakinkan dan menyenangkan mereka menghafal perkataan baru.


Dalam hal ini, kita ambil satu contoh mudah. Mr Bean, seorang pelakon popular telah mengaplikasikan konsep iman ini dengan menjadikan bahasa badan sebagai teras dalam aksi komedinya. Filem beliau terkenal, difahami dan diterima pakai di seluruh dunia. Kini, beliau boleh dikatakan seorang yang berjaya dalam bidang lakonan. Kenapa anda tidak mahu mencuba konsep iman ini semasa belajar Bahasa Arab?


Keenam : Konsep Pengukuhan Dengan ayat Al-Quran, Al-Hadis dan Kata-kata hikmat

Untuk pengukuhan kita gunakan perkataan yang digunakan dalam Al-Quran, Hadis atau kata-kata hikmah. Sebagaimana kita maklumi, bahasa Al-Quran tidak boleh ditandingi oleh mana-mana pakar bahasa. Begitu juga dengan Al-Hadis dan kata-kata hikamt dalam bahasa Arab yang boleh dijadikan sebagai panduan penting dalam mempelajari bahasa Arab ini.


Sehubungan itu kita sepatutnya menggunakan kekuatan yang kita ada ini berbanding pelajar yang belajar bahasa-bahasa lain selain daripada bahasa Arab tidak dapat menggunakan kelebihan ini. Jika kita tidak memanfaatkan kelebihan ini, sudah tentu kita akan mengalami suatu kerugian besar.

www.belajarbahasaarab.com

top