Persediaan Menghadapi Peperiksaan

posted under by منسق/مدير
Peperiksaan ibarat sebuah medan peperangan untuk menguji kemampuan, strategi, ilmu pengetahuan dan ketangkasan yang dimiliki oleh seseorang calon. Ianya juga menjadi kayu pengukur kepada kecemerlangan seseorang dalam bidang akademik yang diceburinya, tidak kira di peringkat rendah mahupun universiti, hatta dalam alam kerjaya juga diwujudkan PTK (Penilaian Tahap Kecekapan) sebagai tanda aras untuk kenaikan pangkat dan pengesahan jawatan. Di sini penulis ingin kongsikan tips-tips untuk cemerlang dalam peperiksaan, dengan harapan agar ia menjadi pedoman dan panduan untuk semua Insya Allah :-


*Betulkan niat (islah wattajdid), menduduki peperiksaan untuk mencari Redha Allah.


*Kenali (ta'yiin) kehendak peperiksaan dan dapatkan gambaran format kertas peperiksaan yang akan diduduki secara tepat dan spesifik. (sama ada ia berbentuk subjektif atau objektif, bilangan soalan, variasi soalan, bentuk-bentuk soalan (struktur, isi tempat kosong, atau sebagainya) yang akan dikemukakan nanti.


*Kelaskan (taqsiim) peperiksaan berdasarkan kesusahan soalan yang akan dikemukakan.


*Sebaik-baiknya buat perancangan ulangkaji strategik (Jadual mutala'ah dan muraja'ah) sepanjang sesi pengajian dan penekanan dan fokus terhadap subjek dalam lingkungan sebulan atau tiga minggu sebelum exan bermula.


*Setkan (tathbit) markah atau CGPA untuk sesuatu subjek yang hendak dicapai, letakkan markah setinggi yang boleh untuk semua subjek sebagai pendorong, contoh ; A untuk semua subjek/ CGP 4.0 untuk subjek2 di Universiti.


*Lakar (ilhaq) matlamat yang hendak dicapai cantik-cantik dan tampal di hadapan meja study atau di tempat tidur agar diri kita terkesan untuk mencapainya. Contoh keputusan A dalam semua subjek dalam STPM 2009.


*Bina komuniti (ijma' wattabaadul) strategik untuk perkongsian pintar. Contoh, study group untuk subjek-subjek kritikal dengan sahabat-sahabat yang mantap dalam subjek tersebut, berkawan dengan mereka yang hero dalam sesuatu subjek dengan niat untuk tuntut ilmu darinya dan selalu merujuk kepadanya, berkongsi dan bertukar-tukar nota dan soalan dengan student dari sekolah, instutusi, universiti lain.


*Ajar (ta'lum) kawan-kawan yang memerlukan pertolongan kita untuk memahamkan mereka, jangan pandai sorang-sorang jangan kedekut ilmu, melalui method ajar orang lain akan membuatkan kita berlipat kali ganda mudah ingat dari membaca disamping dikurniakan ganjaran yang besar di sisi Allah Taala.


*Membiasakan diri merujuk kepada guru/pensyarah (murshid) jika tidak begitu faham dalam sesuatu subjek yang diajari sama ada direct dalam kelas atau selepas waktu pembelajaran. Dengan bertanya sebenarnya akan membuatkan kita lebih rapat dengan guru, dikenali dan diberi kepercayaan oleh mereka.


*Kumpulkan sebanyak yang boleh contoh-contoh soalan yang lepas-lepas untuk dibuat analisis dan latih tubi, minta dari senior-senior atau cari di Bank Soalan Sekolah/Universiti, pada kebiasannya soalan tidak lari dari 5 tahun kebelakang jika format tidak berubah. Perhatikan rentak (bentuk) soalan yang dibuat guru/pensyarah dan tackle cara nak menjawabnya.


*Bersihkan diri dari sifat buruk sangka, merendah-rendahkan orang, membesarkan diri, takabbur, sam'ah, ujub, riak, bermusuh-musuhan, menderhakai ibubapa atau guru.


*Jaga solat lima waktu sehari semalam dengan sempurna, amalkan wirid-wirid yang ma'thur (dari hadis yang sahih dan Al-Quran iaitu yang pernah diamalkan oleh Rasulullah atau diajar oleh Baginda sahaja) selepas solat agar disucikan dan dikuatkan jiwa menghadapi hari-hari peperiksaan nanti.


*Pastikan FERI (Fizikal, Emosi, Rohani, Intelek) dalam keadaan seimbang dan cukup stabil sepanjang membuat persediaan menghadapi peperiksaan. Usah biarkan ia tergangu kerana akan memberi impak negatif kepada mutu menjawab peperiksaan nanti.


*Minta ibu dan ayah doakan kejayaan kita selalu di samping kita bermunajat kepada Allah dalam sujud ketika solat di sepertiga malam.


*Kenalpasti kelemahan kita dalam sesuatu subjek dan minta ulasan dari guru/pensyarah bagaimana untuk meningkatkan pencapaian kita dalam subjek tersebut. Seterusnya buat perancangan strategik untuk membaiki kelemahan yang ada agar terus meningkat setanding dengan orang lain. Berkorbanlah masa dan wang demi pelaburan masa hadapan.


*Pastikan kita mencintai kesemua subjek yang kita ambil, kalau ada yang tidak berapa kita minat atau susah, paksakan diri sukakan subjek tersebut kerana ianya satu amanah ilmiah bukan hiburan, learning is fun, cuma cari pendekatan yang membuatkan kita tertarik dan minat untuk mendalami subjek tersebut, di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

Wallahu Taala A'Lam.

Ukhuwah Seorang Ibu

posted under by منسق/مدير
Keluarga saya dan keluarga seorang jiran merupakan dua buah keluarga yang sangat rapat. Kami juga mempunyai talian darah dan itu menjadikan kami lebih rapat. Kami selalu melancong bersama-sama. Mak dan ayah selalu kerumah mereka dan juga mereka selalu kerumah kami. Saya dan adik beradik lain selalu kesana untuk makan dan kadangkala tidur disana walaupun jarak rumah hanyalah selang sebuah. Namun ukhuwah antara dua buah keluarga tersebut memang sesuatu yang sangat disayangi dan dihargai oleh semua. Sehingga ke hari ini, walaupun keluarga mereka telah berpindah ke Kuala Lumpur, ikatan persaudaraan dan ukhuwah yang terjalin masih utuh. Setiap kali mereka kembali ke kampung pasti mereka akan tidur di rumah kami, begitu juga apabila kami ke Kuala Lumpur. Sebelum saya berangkat ke bumi Cork untuk pertama kali juga, kami bermalam di rumah mereka. Itulah gambaran ukhuwah yang telah terjalin selama puluhan tahun.


Saya masih teringat akan satu peristiwa yang berlaku antara ibu saya dan Mak Cik yang saya gelar Mak Cik Nab tatkala umur saya sekitar 6 tahun. Saya gagal memahami dan mengerti akan peristiwa tersebut sehinggalah saat ini. Walaupun telah lama saya masih mengingatinya dan agak pelik kerana saya jarang mengingati perkara yang berlaku ketika saya masih kecil. Ceritanya begini ya kawan-kawan.


Pada suatu hari saya pulang dari tadika seperti biasa berjalan dengan riang ria lagak seorang kanak-kanak. Kemudian mak saya cakap, “ Wan, jom pi kenduri ghumah Cik Nab”. Maka saya pun sangat teruja kerana kenduri adalah perkara yang menyeronokkan. Mak Cik tersebut membuat kenduri doa selamat dan menjemput orang-orang di taman perumahan tersebut. Tetapi kenduri akan berlangsung pada malam hari, dan seperti biasa gotong royong menyediakan makanan akan bermula sekitar pagi dan tengah hari.


Apabila sampai sahaja ke dapur bahagian rumah tersebut yang dipenuhi oleh Cik Leha, Cik Timah, Cik Senah dan pelbagai lagi Cik-Cik yang sedang rancak berbual, Mak saya pun memberi salam dan masuk. Kemudian ada seorang Mak Cik bertanya kepada emak saya, “ Hai, oghang tak jemput pun mai jugak ka?” Pertanyaan Mak Cik itu membuatkan saya sangat hairan. Mak kemudian menjawab, “ Bukan mai nak makan, mai nak tolong”. Jawapan mak lagi la membuatkan saya bingung, malu dan pelik. Kemudian saya cakap kat Mak, “ Mak, Jom la balik, Cik Nab tak panggil kita makan kenduri ghumah dia pun. Kita mai buat apa. Malu la Mak”. Kata saya sedikit sebak dan pelik kerana mengapa kami tidak dijemput hadir ke kenduri tersebut sedangkan satu taman mengetahui akan keakraban keluarga kami. Mak pun berkata “Tak pa la, kita bukan mai nak makan, kita nak tolong Cik Nab sebab dia nak buat kenduri, ada banyak kerja nak kena buat. Pi main kat luaq dengan Zuri ngan Ushu ”. Saya pun ikut sahaja kata mak dan pergi bermain dengan kawan-kawan di luar.


Sekali-sekala saya menjenguk ke dapur mecari Mak, dan saya lihat Mak sedang bertungkus lumus membuat kerja, memotong bawang, membersihkan ayam dan sebagainya. Saya pun berfikir dan merasa pelik. Tertanya juga apa sebenarnya yang berlaku antara Mak dan Cik Nab. Saya lihat Cik Nab juga tidak mesra kepada Mak seperti biasa. Namun sehingga hari petang keadaan bertambah baik. Suasana sedikit berubah. Setelah hamper maghrib saya dan Mak pun pulang kerumah. Selepas mandi dan solat, kami sekeluarga menerima jemputan untuk ke kenduri Cik Nab. Saya menjadi bertambah pelik dan berkata dalam hati,” Ish, awat la ni baru nak panggil, tadi siang-siang tak panggil pi kenduri”. Mak pun suruh saya dan abang-abang bersiap dan pergi makan kenduri di rumah Cik Nab. Lepas makan seperti biasa la, kami budak-budak bermain di luar sekeliling taman, main aci sembunyi, polis sentry, aci ligan dan bercerita hantu.


Kemudian barulah saya memahami, tidak pasti dari mana saya dengar, rupa-rupanya Mak dan Cik Nab mempunyai sedikit perselisihan pendapat. Namun, saya sangat kecil untuk mengerti apa yang di perselisihkan. Namun, perselisihan itu tidak menghalang Mak untuk pergi membantu Cik Nab, kerana ukhuwah yang telah dibina sangat berharga untuk di robohkan oleh perselilisan tersebut. Namun, saya sebenarnya tidak mengerti akan tindakan Mak yang sanggup pergi membantu Cik Nab, walaupun berselisih dan tambah-tambah lagi tidak langsung di jemput untuk menghadiri kenduri tersebut. Saya sejujurnya agak malu untuk pergi kerana tidak dijemput, iyalah orang tak jemput takkan laa kita terhegeh-hegeh nak pergi juga kan. Namun baru-baru ini baru saya menemui jawapannya apabila bertemu dengan sebuah Hadith dari Rasulullah S.A.W.
“Mahukah aku memberitahu kamu sesuatu perkara yang dengannya Allah akan memuliakan binaan ( kedudukan seseorang ) dan mengangkatnya kepada beberapa darjat ketinggian. Mereka menjawab : Ya, wahai Rasulullah. Baginda bersabda : “ Berlemah lembutlah kamu terhadap oprang jahil, maafkanlah orang yang menzalimi kamu, hulurkanlah pemberian kepada orang yang menahan pemberiannya kepadamu dan sambunglah ikatan silaturrahim terhadap orang yang memutuskannya terhadap kamu”

Baginda juga bersabda
“ Janganlah kamu saling memutuskan silaturahhim, janganlah kamu saling belakang membelakangi, janganlah kamu saling benci membenci, dan janganlah kamu saling hasad menghasad. Sebaliknya jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak Halal bagi seorang Muslim itu memulaukan saudaranya yang mu’min melebihi tiga hari”


Apa yang dibuat oleh Mak sebenarnya adalah sangat tepat. Mak cuba untuk menyambungkan semula Silaturrahim yang terputus. Mak juga ikhlas pergi untuk membantu mengurangkan bebanan Cik Nab yang sedang bersusah payah untuk membuat kenduri. Usaha Mak berbaloi dan Allah menunjukkan jalan. Mak pergi membantu tanpa mengharapkan sebarang balasan, hanya ingin memenuhi tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim terhadap Muslim yang lain, adalah perkara yang sangat dituntut. Betul kata-kata Mak, “ Bukan mai nak makan, mai nak tolong”. Keikhlasan yang tidak mengharapkan sebarang balasan tergambar dalam ungkapan kata tersebut. Allah telah memudahkan urusan dan membantu menjalinkan semula Silaturrahim yang hampir musnah. Mungkin Cik Nab tersentuh hati dengan perbuatan Mak yang bertungkus lumus membantunya tanpa mengharapkan sebarang balasan.


Begitulah kawan-kawan akan perihalnya ukhuwah dan persaudaraan ini. Ukhuwah adalah sesuatu yang sangat manis. Manusia berkasih-kasihan kerana Allah. Namun, ukhuwah itu sangat rapuh dan untuk menjaganya adalah sesuatu yang memerlukan pengorbanan dan kesabaran. Ukhuwah sangat mudah diputuskan. Sedikit perselisihan akan menjejaskan ukhuwah. Sedikit perbezaan pendapat dan pertengkaran akan merenggangkan ukhuwah. Sedikit ujian akan meruntuhkan ukhuwah yang telah lama dibina. Sedangkan lidah lagi tergigit, begitulah juga persaudaraan dan ukhuwah. Sahabat-sahabt Nabi juga berselisih pendapat dan bertengkar, namun kerana Allah Taala, mereka kembali menjalinkan ukhuwah.


Apabila ada sahabat yang memutuskan hubungan silaturrahim dengan kita kerana berselisih pendapat, adakah kita juga akan memutuskannya begitu sahaja. Walaupun kita mencuba tetapi tidak dilayan, adakah begitu mudah untuk kita ‘give up’ persaudaraan dan ukhuwah tersebut kerana sedikit perselisihan. Adakah nilai ukhuwah itu sangat murah untuk digugat oleh perselisihan? Mengapakah kita tidak berusaha menjaga dan mempertahankan ukhuwah? Mengapa dengan mudah melepaskannya?

Hadith Nabi berbunyi
“Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih sayang kerana Allah dan marah juga kerana Allah”
(Hadith Riwayat Imam Ahmad)


Pegang teguhlah pada tali persaudaraan sesame islam, walaupun diuji jangan mudah melepaskannya, pertahankanlah ia, dan sucikan ia. Bantulah rakan-rakan kita tanpa mengharapkan sebarang balasan dari nya.


Saya juga kadang kala tertanya, apakah itu ukhuwah. Adakah ukhuwah itu dibina atas gelak ketawa dan senda gurau, adakah ukhuwah itu dibina atas pengorbanan, adakah ukhuwah itu dibina atas kesusahan bersama, adakah ukhuwah itu dibina atas sebab kita mempunyai jenis pemikiran yang sama atau sekepala, atau apakah ia sebenarnya. Bagaimana ianya harus dibina dan dipertahankan?


Ramai dari kita yang suka bergelak ketawa bersama rakan-rakan dan merasakan mereka sedang membina ukhuwah. Melalui senda gurau dan gelak ketawa kita akan lebih memahami rakan-rakan kita, memahami tingkah laku dan peribadinya, namun cukupkah ia untuk mempertahankan ukhuwah kita apabila badai melanda. Ukhuwah yang hanya dibina atas gelak ketawa tidak akan bertahan kerana kita hanya memerlukan orang tersebut untuk bersenda gurau dan menghiburkan hati dan bersuka ria. Apabila rakan tersebut ditimpa kesusahan dan tidak lagi mampu bergelak ketawa seperti sebelumnya, adakah kita akan meninggalkannya dan mencari orang baru untuk bersenda gurau? Adakah itu ukhuwah?itu ukhuwah cap ayam namanya. Benar kata manusia, kawan yang ketika susah sangat sukar dicari. Kita mungkin merasakan kita bukan manusia yang sebegitu, tapi cuba tanya diri sendiri betulkah? Pernahkah kita meninggalkan kawan kita apabila dia bersedih, bermasalah dan memencilkan diri? Adakah apabila kawan kita memencilkan diri kerana kesedihan, kita membiarkannya sendiri tanpa cuba memegang tangannya, memimpin dan menarik tangannya untuk membantu?


Atau adakah apabila sahabat kita melakukan kesalahan pada kita, kita akan segera memutuskan ikatan ukhuwah?


Atau adakah apabila sudah berjauhan kita menjadikannya alas an untuk memutuskan ukhuwah?
Perkataan ukhuwah sangat mudah disebut dibibir, menjadi bahan bicara hari-hari dan dipertuturkan sewenang-wenangnya tanpa cuba memahami dan mencari nilai di sebalik ukhuwah tersebut. Marilah kita bersama-sama berfikir, menilai dan mencari erti ukhuwah kerana dengan ukhuwah kita akan merasakan manisnya bersaudara.


HARGAILAH IBU/UMI KITA SERTA KASIHILAH BELIAU KERANA SYURGA DI BAWAH KAKINYA

MenYebERaNGi aLaM BARZAKH

posted under by منسق/مدير
Saya pegang nisan dikubur arwah abang Hamid yang baru saja kami kebumikan sebentar tadi. Fikiran saya berputar
ligat. "Aii.. menung nampak? Apasal?" tanya Bakar, kawan baik saya yang turut sama menjadi penggali kubur di Bakri, Muar, Johor.

"Tak ada apa-apa. Saja tengok kain ni, dah kotor sikit kena tanah,"

saya berdalih, cuba menyembunyikan perkara yang berasak-asak datang ke kepala.

Mari gi kat pondok... mandur nak jumpa. Dia nak cakap fasal kerja, gaji, overtime. Pak Dolah, kawan-kawan lain dah pergi dah," tambah Bakar sambil memikul cangkul dan botol airnya.

"Pergilah dulu, nanti aku datang," balas saya lantas duduk termenung.

Sepeninggalan Bakar, saya duduk di pinggir kubur Abang Hamid. Saya termenung. Ada satu perkara yang sedang menyucuk-nyucuk fikiran saya.

Sebenarnya sudah lama ia bermain-main di benak tapi sekarang ini makin mendesak.

Orang ramai sudah balik, Munkar dan Nakir sudah datangkah menyoal Abang Hamid, hati saya bertanya. Kata orang, selepas tujuh langkah kita tinggalkan pusara, maka akan datanglah dua malaikat itu untuk menyoal simati. Kalau bagus amalannya semasa hidup,berbahagialah . Tapi kalau bergelumang dengan kemungkaran, bersiap sedialah...

Saya teringat cerita kononnya ada orang yang menekap telinga ke kuburdan dengar bunyi dentuman tapak kaki di dalam.
Konon cerita, lepas itu terdengar pula bunyi hentaman dan si mati menjerit-jerit.

Eee... seramnya. Macam mana agak-nya rupa Munkar dan Nakir. Besarkah badannya, garangkah rupanya atau berjubah dan
maniskah wajahnya? Kalau dibelasahnya kita, tentu sakitnya tak terperi.

Kalau lipan, jengking datang habislah kita disepit. Nak lari tak boleh,nak mengadu tak boleh,

kita seoranglah menanggung sakit pedih.

Astaghfirullahal azim...

Saya masih lagi duduk melangu di pinggir kubur Abang Hamid. Jiwa muda saya makin menggaru-garu. Kian lama saya termenung kian ia mengganas dan mengacau fikiran.

Pergi... pergi sekarang! Johar, masa nilah kalau nak cuba. Kawan-kawan dah tak ada, cepat, ia berbisik di telinga saya.

Jari-jemari saya bergerak-gerak. Lutut dah mula menggeletar manakala kepala rasa berpusing. Saya beristighfar beberapa kali mententeramkan jiwa yang bergelora, namun bisikan itu makin kuat berkumandang di telinga.

Cepat, cepat, cepat! Inilah masanya. Johar, apa engkau tunggu lagi?'

Kan engkau nak tau sangat, jangan tercegat lagi. Kau takut? Alah, bukannya kena tangkap, bukannya boleh mati...

Jadi bisu? Sakit, lepas tu mereng sampai mati

Jangan pedulilah, tu cerita orang aja. Entah ya entah tidak. Engkau orang muda, kuat semangat, apa nak takut. Cepat Johar, cepat, cepaaaaat!

Dimulai lafaz bismillah dan selawat kepada Nabi,saya terus bangun dan terjun ke dalam kubur di sebelah pusara Abang
Hamid. Ia baru saja digali sebab di sini, kami biasanya sudah gali lebih kurang 10 kubur sebagai persediaan. Maklumlah, Bakri ni kawasan besar,kalau ada banyak kematian sekali gus, taklah timbul masalah.

Di dalam lahad saya berbaring dan meratib, lailahaillallah,

Lailahaillallah, lailahaillallah. .

Saya pejamkan mata, menggigil tengok dinding lahad di depan mata. Bau tanah dan sempitnya ruang di dalam lahad itu
menyebabkan saya betul-betul gemuruh.Munkar, Nakir, ular, jengking, api tinggi menggulung, nanah, darah dan segala seksaan yang pcrnah didengar daripada guru-guru agama terbayang di depan mata.

Saya juga teringat pada alunan suara seorang wanita membaca al-Quran dari salah sebuah kubur di sini yang saya dengar beberapa bulan lalu.Jeritan, tangisan dan raungan dari kubur-kubur lain yang didengar pada malam-malam selepas itu juga pantas menyerbu fikiran.

Suara-suara aneh dari kubur itulah yang sebenarnya menggaru-garu jiwa saya untuk menyaksikan sendiri keadaan di alam
barzakh. Bunyinya memang gila, mana boleh manusia hidup menycberangi ke alam barzakh, tapi saya ingin juga merasainya.

Lailahaillallah Lailahaillallah Lailahaillallah

Saya terus meratib dan meratib hinggalah tiba-tiba dunia menjadi kelam dan sedetik kemudian bergema satu bunyi yang amatmenakutkan.

GGRUUMMM... PPPRRAAAPPP! !

Tanah di kubur Abang Hamid tiba-tiba bergerak.Setelah itu satu lagi sisi tanah kuburnya berganjak diiringi bunyi yang amat menggerunkan.


"Ya Allaaaaahhh. .. apa yang berlaku ini?" saya menggeletar kerana bunyi itu datang dari dua arah dan saling rapat
merapati. Air mata seperti hendak mengalir.

GGGRRRRUUUMMM. ..

Tanah di kubur Abang Hamid bergerak lagi saling himpit menghimpit. Saya menggigil mendengar bunyi itu yang dentumannya lebih dahsyat daripada tanah runtuh. Saya cuba menekup telinga kerana tidak tertahan dengan bunyi yang bingit itu, tapi tangan saya tiba-tiba kaku.
Ingin saja saya melompat dari kubur, pun demikian kaki bagai dipaku ke tanah, tak dapat bergerak akibat terlalu

ARGGHKKK... ERRRKKKKKKK

Terdengar pula suara seorang lelaki mengerang.Suaranya laksana dia sedang menahan kesakitan yang amat sangat tapi
seperti tersekat dikerongkong. Nafas saya sudah tidak tentu arah,takut yang amat sangat.

AARRKKK... UUURRRKKGGH! !!

Saya menggigil apabila dia mengerang-ngerang lagi. Perasaan simpati tak dapat dibendung. Ingin rasanya saya menarik lelaki itu keluar daripada terus dihimpit, tapi di sebelah saya cuma lapisan tanah yang tidak mampu ditembusi.

Saya masih lagi terbaring dengan nafas turun naik apabila tiba-tiba...

PPPR-RRAAPPPPP! !!... bunyi papan patah berderai. PRRAAKK... TTAAPP... PRRAAPP!
Kepingan demi kepingan papan tersebut patah hingga hancur berkecai lalu disudahi dengan suara lelaki tersebut mengeruh.

Serentak itu,kedengaran pula tulang-temulang patah!

Air mata saya meleleh. Di ketika ini hati saya berkata, mungkin inilah yang Nabi maksudkan bahawa tanah dan dinding kubur akan menghimpit tubuh orang-orang yang mengkufuri Allah hingga berselisih tulang selangkanya.

Aduh, tidak terbayang peri sakitnya lelaki yang sedang mengerang itu.

Jantung saya bagai hendak tercabut dan darah terasa kering apabila mendengar dia mengerang-ngerang dan tulang-temulangnya patah berderap-derap.

Di saat saya terbungkam dengan apa yang berlaku,tiba- tiba satu deruan angin yang maha dahsyat datang menerpa.

Desingannya menyakitkan telinga.

Seiring dengan ribut taufan itu juga, hadir sesuatu berwarna hitam seperti asap, makin lama makin membesar lalu
membentuk lembaga hitam yang teramat besar. Di tangannya tergenggam sebatang besi yang sedang membara, merah menyala.

Tiba-tiba lembaga itu menghayun besi tersebut.

Pantas saya menepis, namun sebaik besi itu menyentuh lengan, saya menjerit kesakitan. Aduh,panasnya menyebabkan kulit tangan saya ini bagai tersiat dan dagingnya masak.

"ARGGGHHHH" Jangan pukul aku lagiiiii!!!" saya meraung apabila lembaga itu memukul kaki saya.

Saya cuba mengelak, tapi pukulan itu tetap singgah ke sasaran. Bagai hendak tercabut anak tekak saya menjerit kerana
kehangatan besi itu membakar daging paha saya.

"Arrgghhh... sakit, sakiiittt!!" saya meraung- raung, tapi lembaga hitam besar hingga sayup mata memandang itu terus
menghayunkan besi panasnya ke kepala, kaki, tangan, badan dan perut saya.

Dalam pada itu, tanah di kubur sebelah terus-terusan bergerak himpit menghimpit. Bumi tempat saya berpijak bergegar hebat laksana dilanda gempa. Suara lelaki mengerang dan tulang-temulangnya patah berderap bagai dahan sekah, tetap kedengaran. Dalam hati saya meraung,matilah aku kejap.. patahlah tulang aku, renyuklah badan aku dibelasah dengan besi panas.

Saya menjerit, menepis, mengelak hinggalah tiba-tiba saya terasa sesuatu yang amat sejuk menyimbah ke tubuh saya. Serentak itu lembaga hitam hilang entah ke mana dan bunyi bumi bergegar serta lelaki mengerang lenyap serta-merta. Suasana terasa hening.

"Johar... Johar!!" sayup-sayup nama saya dipanggil.

Dengan susah payah, saya membuka mata. Tapi saya tidak larat, badan terlalu letih. Wajah seseorang berbalam-balam di
mata.

"Johar... bangun, bangun!" nama saya dipanggil lagi, badan digoncang-goncang.

Saya buka mata sedikit. Ooo... rupa-rupanya Bakar. Bersama-sama Pak Dollah, mereka mengangkat saya keluar dari kubur.

Selepas diberi air, badan dikipas, barulah saya segar semula. Bakar beritahu, selepas menunggu lama di pondok, dia dan Pak Dollah serta mandur mencari saya untuk membayar wang kerja lebih masa. Lama mencari,akhirnya dia jumpa saya di dalam kubur sedang bersilat seorang diri.

"Engkau menepis sana, mengelak sini. Habis tanah kubur tu engkau tumbuk.

Aku ambil air, aku simbahlah," kata Bakar sambil menunjukkan baldi yang digunakannya lalu disambut gelak tawa kawan-kawan.

Saya hanya tersenyum tawar. Tak terdaya saya hendak ceritakan apa yang telah berlaku sebentar tadi, bimbang mereka tidak percaya.

Selepas kejadian itu saya terlantar selama beberapa bulan akibat badan penuh dengan lebam-lebam. Mungkin lebam akibat menumbuk dan menendang tanah, mungkin juga akibat pukulan besi panas itu. Saya juga dibawa berjumpa bomoh untuk memulihkan semangat.

Keluarga dan kawan-kawan menggeleng kepala dengar cerita saya. Mereka berebut-rebut menyuruh saya menceritakan
pengalaman menakutkan itu.Ada yang insaf, ada juga yang mengatakan semua itu karut, mainan syaitan,mimpi dan igauan semata-mata.

Lantaklah apa kata mereka, tapi saya puas hati.Akhirnya saya telah saksikan sendiri seksaan di dalam kubur. Sama ada
apa yang dilihat itu adalah keadaan yang sebenarnya berlaku di alam barzakh atau hanya mimpi semata-mata akibat terlelap semasa meratib, itu saya tidak kisah.

Yang penting keinginan untuk menjengah alam itu telah tertunai.

Peristiwa pada pertengahan 1970-an itu telah memberi keinsafan yang benar-benar mendalam di hati saya.

Sesungguhnya janji ALLAH itu benar...MATI itu benar...SYURGA - NERAKA itu benar....dan. .azab kubur ..itu juga benarrrr.... .

Semoga ALLAH terima segala amalan kita dan mengampuni dosa-dosa kita....

AMIN YA RABBAL A'LAMIN
BERSAMA KITA MENYIAPKAN DIRI UNTUK MATI DAN AKHIRAT KERANA IANYA PASTI

IMBAUAN KEPADA RASULULLAH

posted under by منسق/مدير
MENANGISLAH JIKA MAMPU SEBAGAI CINTA TERHADAP RASULULLAH DAN JUGA TANDA HATI KITA LEMBUT…

Ada sebuah kisah tentang cinta yang sebenar-benar cinta yang dicontohkan Allah melalui kehidupan Rasul-Nya....

Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap. Pagi itu, Rasulullah dengan suara terbatas memberikan khutbah, "Wahai umatku, kita semua ada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertaqwalah kepada-Nya. Kuwariskan dua perkara pada kalian, Al Qur'an dan sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-sama aku."

Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu, Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya. Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba. "Rasulullah akan meninggalkan kita semua", keluh hati semua sahabat kala itu. Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya didunia.

Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Disaat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir disana pasti akan menahan detik-detik berlalu.

Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya. Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. "Bolehkah saya masuk?" tanyanya. Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk, "Maafkanlah, ayahku sedang demam", kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu. Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, "Siapakah itu wahai anakku?". "Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya", tutur Fatimah lembut. Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang. "Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malakul maut", kata Rasulullah.. Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini. "Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?". Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah". Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu,", kata Jibril.

Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemaan. "Engkau tidak senang mendengar khabar ini?". Tanya Jibril lagi. "Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?". Jangan khawatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: ''Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya", kata Jibril.

Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan ruh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. "Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini". Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka. "Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?". Tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu. "Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal", kata Jibril. Sebentar kemudian terdengar Rasulullah mengaduh, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi. "Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku". Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi.

Waktu Rasulullah SAW wafat dan berita kewafatannya tersebar dikalangan ummat Islam, ramai di kalangan mereka yang tidak percaya. Kerana mereka menganggap bahawa Rasulullah SAW mustahil boleh wafat. Malahan Umar bin Khattab waktu mendengar kewafatan Rasulullah SAW itu berkata dengan amat marah: " Sesiapa yang berani mengatakan bahawa Rasulullah SAW wafat adalah pengkhianat . Tidak ! Rasulullah tidak wafat. Rasulullah sedang menghadap Tuhannya sebagaimana ia pernah terjadi dengan Nabi Musa a.s. dan baginda akan segera kembali ketengah-tengah kita . Sesiapa yang masih berani mengatakan Rasulullah wafat, akan ku pancung lehernya".

Dalam saat-saat genting dan penuh kebimbangan itu, datanglah Abu Bakar sambil berkata kepada orang ramai: " Kalau saudara-saudara menyembah Muhmmad, maka sesungguhnya Muhammad telah wafat. Tetapi kalau saudara-saudara menyembah Allah, maka sesungguhnya Dia tetap hidup selama-lamanya ".

Kemudian Abu Bakar membacakan Al-Qur'an Surah Ali Imran ayat 144 :
"Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu)".
( QS Ali Imran ayat 144 )

Setelah Abu Bakar selesai mengucapkan kata-kata tersebut, maka Umar berkata :" Demi Allah! Setelah Abu Bakar membaca ayat-ayat itu, seolah-olah saya tidak dapat berdiri tegak lagi, kerana terasa kaki saya amat gementar lemah. Saya hampir-hampir terjatuh pengsan, sebab saat itulah baru saya insaf, bahawa Rasulullah SAW kekasih ummat benar-benar telah wafat".

top